Di zaman Nabi Musa a.s. ada
seorang hamba Allah yang kerjanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu
hari, dia melihat Nabi Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk
berjalan bersama Nabi Musa a.s. Katanya: “ Kalau aku dapat berjalan bersama
Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku.”
Tetapi setelah difikirkannya
semula, dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, “Aku ini
pencuri. Manalah layak pencuri macam aku ini berjalan bersama seorang nabi.”
Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar
Nabi Musa a.s. dari belakang. Si abid ini telah beribadah secara istiqamah
selama 40 tahun dan dikenali orang. Si pencuri itu berkata di dalam hatinya,
“Baik aku berjalan bersama si abid ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku.”
Lantas si pencuri menghampiri si
abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya.
Apabila ternampak sahaja
si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya,
“Celaka aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rosak
segala kebaikan dan amalanku.”
Si abid terus berlari laju supaya
si pencuri tidak dapat ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana
hendak berjalan bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada
Nabi Musa a.s.
Nabi Musa a.s. terus berpaling
dan bersabda kepada mereka berdua, “ Aku baru saja mendapat wahyu dari Allah
Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan baik dan buruk kamu
telah dimansuhkan oleh Allah.” Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.
Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah
diampunkan oleh Allah. Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan
ibadahnya selama 40 tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.
Rupa-rupanya si pencuri itu,
walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan
tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan
membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia
mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita.
Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya
parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas
kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.
Si abid pula, amat yakin
ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli
Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali
dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini
mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia
membuat ibadah. Hingga dia rasa tidak layak bergaul, inikan pula berjalan
bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama
para Nabi.
Maha Suci Allah yang mengetahui
segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa
yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh
hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan
nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar
berjiwa hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya.
0 komentar:
Posting Komentar
Jangan lupa comment nya.... Saran atau kritik jangan lupa... Comment gajelas juga gapapa, hehe...
Thanks Before!